Pemilihan warna tudung yang sesuai dengan kulit wajah mampu menaikkan seri ratu sehari di majlis raikan cinta. Selain bentuk muka, faktor tona kulit juga memainkan peranan dalam menghasilkan keserasian gaya dengan warna tudung yang dipilih. Ikuti tip untuk memilih tudung mengikut rona kulit anda agar tampil lebih berseri dan menyerlahdi hari bahagia.
KULIT PUTIH, CERAH DAN KUNING LANGSAT
Kulit putih dan cerah lebih nampak berseri jika memakai tudung yang berwarna gelap atau terang yang kontra seperti ungu, merah, biru laut dan hitam. Walaupun warna pastel dan neutral sangat popular, tetapi ia boleh membuatkan wajah anda nampak pucat dan tidak bermaya. Jika mahu mengenakan tudung pastel atau neutral, campurkan dengan warna-warna garang supaya lebih menarik.
KULIT SAWO MATANG
Kulit sawo matang atau coklat pula adalah warna kulit yang biasa bagi kebanyakan wanita di Malaysia. Warna-warna tudung yang menyerlahkan lagi kulit sawo matang ialah rona pastel seperti kuning beige, baby blue, peach, salmon dan ungu. Warna yang perlu dihindari ialah seperti merah darah, hijau tua dan coklat tua kerana ia membuatkan muka anda kusam dan gelap.
KULIT GELAP DAN HITAM MANIS
Anda perlu memakai warna-warna yang menaikkan seri wajah seperti merah hati, hijau serindit, ungu lembut atau jingga lembut. Warna-warna ini bersifat kontra dengan tona kulit sekaligus membuatkan kulit kelihatan lebih cerah. Elakkan warna coklat tua, hitam, hijau tua, biru gelap atau merah darah yang akan menjadikan kulit semakin gelap dan lesu.